PANDUAN MENGGUNAKAN BUGGY UNTUK TAWAF DAN SA’IE (2025)

Rayhar Travels sentiasa prihatin terhadap keperluan jemaah, khususnya mereka yang memerlukan bantuan mobiliti. Bagi warga emas, orang kurang upaya atau jemaah yang tidak berdaya berjalan jauh kemudahan buggy yang disediakan di Masjidil Haram menjadi satu alternatif terbaik bagi memudahkan pelaksanaan ibadah tawaf dan sa’ie tanpa menjejaskan nilai ibadah itu sendiri.

Untuk menggunakan buggy, tempahan perlu dibuat secara dalam talian menerusi laman rasmi: http://carts.alharamain.gov.sa. Jemaah perlu mengisi maklumat seperti jenis ibadah yang ingin dilakukan (sama ada tawaf sahaja, sa’ie sahaja atau kedua-duanya), jumlah penumpang, pilihan waktu pelaksanaan, lokasi menaiki buggy (sama ada di Syubaikah atau Ajyad – di mana Ajyad adalah paling hampir dengan hotel-hotel Rayhar), nama peserta, serta alamat emel. Bayaran juga dibuat secara online dan e-ticket akan diberikan setelah tempahan berjaya.

Pada hari pelaksanaan ibadah, jemaah perlu hadir ke stesen buggy yang terletak di tingkat atas Masjidil Haram (rooftop). Laluan paling mudah adalah melalui ramp putih berhampiran Pintu King Abdul Aziz. E-ticket perlu ditunjukkan kepada petugas untuk pengesahan sebelum dibenarkan menaiki buggy.

Setelah menaiki buggy jemaah perlu bersabar sementara menunggu semua tempat duduk penuh sebelum bergerak. Bagi memudahkan urusan selepas selesai ibadah, jemaah disarankan untuk mengingati nombor buggy dan rupa pemandu. Sebelum bergerak, niat ibadah hendaklah dilafazkan seperti biasa bagi memastikan ibadah sah dan diterima.

Buggy ini turut dilengkapi dengan skrin digital bagi memudahkan pemantauan bilangan pusingan. Pastikan jemaah melengkapkan tujuh pusingan bagi tawaf dan tujuh pusingan bagi sa’ie. Selepas selesai tawaf, buggy akan berhenti di lokasi khas bagi membolehkan jemaah menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa.

Selesai solat, jemaah perlu menaiki semula buggy yang sama untuk dihantar ke lokasi permulaan. Sepanjang tawaf, amat penting untuk memastikan bahu sentiasa menghadap Kaabah bagi memastikan kesahihan ibadah.

Perlu diingat bahawa harga buggy mungkin berbeza mengikut musim dan jenis ibadah yang dipilih. Oleh itu, tempahan awal sangat digalakkan bagi memastikan kelancaran urusan.

Di Rayhar Travels, kami bukan sahaja menyediakan bimbingan umrah lengkap daripada mutawwif bertauliah malah kami turut membantu memberikan info-info lain. Sertai Rayhar untuk pengalaman umrah yang lebih selesa, tersusun dan tenang dari A hingga Z.


NOTA: LINK YANG DILAMPIRKAN HANYA BOLEH DIAKSES KETIKA ANDA BERADA DI SAUDI SAHAJA