KENAIKKAN HARGA PAKEJ HAJI AGENSI SWASTA

KUALA LUMPUR : Kos haji yang dikendalikan syarikat pelancongan tempatan sebagai Pengelola Jmeaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1446H/2025M, dijangka meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus berbanding musim haji sebelum ini.

Jurucakap Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun KC Ahmmu berkata, kenaikan itu adalah wajar dan bersesuaian dengan peningkatan kos di Arab Saudi dan di dalam negara.

Kata beliau, walaupun terdapat kenaikan tetapi ia masih dalam kadar yang munasabah dan tidak akan membebankan bakal jemaah haji.

"Kami berpendapat sudah pasti syarikat swasta pengelola haji yang dilesenkan ada kenaikan kos haji tahun hadapan apabila pakej muassasah yang biasa pun ada penurunan bantuan kewangan.

"Saya menganggarkan hanya 10 hingga 15 peratus kenaikan bergantung kategori perkhidmatan yang disediakan.

"Pihak kami juga masih menunggu kos-kos perkhidmatan yang bakal disediakan oleh Arab Saudi untuk haji tahun hadapan". katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Lembaga Tabung Haji(TH) telah melantik 37 syarikat pelancongan tempatan, termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travels & Services Sdn Bhd. (THTS) sebagai PJH bagi Musim Haji 1446H/2025M, berbanding 25 syarikat pada musim lalu.

Penambahan itu menunjukkan komitmen TH untuk memberi peluang kepada syarikat pelancongan tempatan yang memenuhi syarat dan kriteria dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia.

Selain itu, TH juga mengumumkan kos haji bagi musim 1446H/2025M untuk jemaah Muassasah yang pertama kali menunaikan ibadah haji kekal pada RM33,300 seorang.

Namun, kadar bantuan haji telah dikurangkan secara berperingkat dengan peratusan berbeza mengikut kategori jemaah haji bagi memastikan kemampanan kewangan syarikat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, penurunan bantuan kewangan tersebut adalah langkah yang adik bagi mengurangkan impak terhadap pulangan pelaburan pendeposit.

Tambah Harun, bagi jemaah yang berkemungkinan mendapat visa jemputan daripada Arab Saudi dinasihatkan menggunakan perkhidmatan syarikat yang dilesenkan oleh TH.

"Ini kerana TH akan menjaga segala perkara penting jemaah haji. TH mempunyai garis panduan syarat yang baik dan ketat demi menjaga kepentingan jemaah haji Malaysia.

"Setiap duit yang digunakan untuk perkhidmatan haji akan selamat dan berbaloi," katanya.