HARGA SKUTER TAWAF DAN SAIE DI MEKKAH




Harga Terkini Skuter Elektrik  yang telah dikemaskini oleh Perkhidmatan di Masjidil Haram pada 14 Ogos 2022. Jemaah perlu sedia maklum bahawa harga perkhidmatan untuk menggunakan Skuter elektrik ini adalah sentiasa berubah ubah dari masa ke semasa.

Harga Skuter Elektrik bagi satu tempat duduk untuk Tawaf  sahaja SR57.50 manakala untuk kegunaan Saie sahaja adalah SR57.50. Jika anda berminat untuk menggunakan ketika Tawaf dan Saie harganya adalah SR115 sahaja.

Harga Skuter Elektrik bagi dua tempat duduk untuk Tawaf  sahaja dan Saie sahaja adalah SR115.00.  Jika anda berminat untuk menggunakan ketika Tawaf dan Saie harganya adalah SR230 sahaja.


Adakah ada pemandu yang akan bawakan skuter tersebut?
Tidak, jemaah perlu mengendalikan sendiri skuter yang telah disewa.


Apakah Hukumnya ?
Pendapat Ulama

Di dalam isu ini, terdapat tiga pendapat ulama’ yang utama membincangkannya:

• Pendapat pertama: Sebahagian ulama’ seperti Al-Khiraqi mengatakan bahawa hukum tawaf menggunakan kenderaan atau di bawa tanpa uzur adalah tidak memadai. Ini juga merupakan satu pendapat dalam riwayat Ahmad dan alasannya kerana Nabi SAW bersabda:
الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ
Maksudnya: Melakukan tawaf di Ka’bah adalah solat.
Riwayat al-Nasa’i (2922)

Oleh kerana tawaf merupakan ibadah yang berkaitan dengan ka’bah maka tidak harus dilakukannya dengan menaiki kenderaan tanpa uzur seperti solat. [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]

Pendapat kedua: Yang masyhur adalah memadai dan dikenakan dam dan ini adalah pendapat Malik dan Abu Hanifah kecuali Abu Hanifah menambah sekiranya seseorang itu masih berada di Mekah perlu diulang tawafnya itu dan sekiranya sudah pulang, maka hendaklah membayar dam. [Al-Hawi al-Kabir. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 4/151], [Al-Majmu’. Dar al-Fikr, 8/27].

Pendapat ketiga: hukumnya adalah memadai dan tidak dikenakan dam. Ini ialah pendapat Abu Bakar, mazhab Syaf’ie dan Ibn al-Munzir. Mereka beralasan dengan mengatakan Nabi SAW telah tawaf dalam keadaan menunggang.

Ibn al-Munzir berkata: “Tidak diterima pendapat seseorang setelah adanya perbuatan daripada Nabi SAW kerana Allah SWT telah perintahkan tawaf secara mutlak. Maka dengan cara mana sekalipun ianya memadai dan tidak harus taqyidkan yang mutlak tanpa dalil.” [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]

Tarjih

Setelah melihat ketiga-tiga pandangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya selaras dengan mazhab Syafi’e, Ibn al-Munzir dan ramai lagi kerana nas yang sahih lagi sarih (jelas) menunjukkan kearah itu.

Walaupun begitu, beberapa kriteria perlu difahami dan diraikan:
• Tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih afdhal (baik) dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para Sahabat.
• Raikan adab tawaf dengan sebaik mungkin.
• Penuhi syarat-syarat tawaf agar tidak terbatal.
• Jauhi dari riya’, ‘ujub dan niat bermegah ketika menggunakannya.
• Jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti mereka.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman sebaik mungkin mengenai hukum tawaf menggunakan segway / mini-segway

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
18 Zulkaedah 1436H bersamaan 2 September 2015.